
| |
|
|
PUTRAJAYA, 3 Disember 2011 – Hari ini,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyaksikan lakaran sejarah
tercipta pada Majlis Konvokesyen kesembilan dengan berlansungnya
Istiadat Pemasyhuran Canselor yang baru sebagai Canselor kedua USIM,
Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah
Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Turut berangkat ke Majlis
ini, Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku
Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir
Majlis Kovokesyen kali ini
dimulai dengan Istiadat Pemasyhuran Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia
Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum
Tengku Besar Mahmud. Perisytiharan pelantikan Canselor diumumkan oleh
Yang Berbahagia Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM
mewakili Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri
Pengajian Tinggi.
Baginda bertitah di dalam ucapanya, sistem
pendidikan berteraskan ilmu Islam merupakan pemangkin kepada umat Islam
terutamanya yang berada di rantau Asia Tengah. jaringan hubungan luar
bersama negara Islam lain perlu diperkukuhkan supaya hasrat dan
cita-cita tersebut terlaksana.
"Setelah lebih 10 tahun universiti
ini membangun, ia telah menjadi salah satu institusi Islam yang
disegani di rantau ini kerana graduan USIM bukan sahaja cemerlang dalam
akademik, malah dalam bidang kokurikulum.
"Kecemerlangan dalam
bidang seperti perbahasan, kesenian dan kebudayaan Islam, sukan dan juga
hubungan antarabangsa adalah satu tanda ukur bahawa USIM mampu mengorak
langkah lebih maju ke hadapan dalam merealisasikan dasar pendidikan
tinggi negara.
"Malahan, cendekiawan yang diasah oleh USIM juga
mampu mengorak langkah ke peringkat global dan memperkenalkan pendidikan
tinggi berasaskan ilmu naqli dan ilmu aqli," titahnya.
Konvokesyen
pada kali ini menyaksikan seramai 1,196 orang graduan berjaya
dianugerahkan ijazah di dalam bidang masing-masing merangkumi pelbagai
peringkat pengajian. Dalam pada itu, seluruh warga USIM menjadi saksi
lahirnya kumpulan graduan pertama seramai 29 orang daripada Fakulti
Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) yang telah melengkapkan pengajian
bagi Program Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri (MBBS) dan juga graduan
dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama bagi Program Sarjana Muda Pendidikan
(Pendidikan Islam) Dengan Kepujian seramai 72 orang.
USIM turut
berbangga kerana Majlis Konvokesyen pada kali ini turut mengiktiraf dan
menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada bekas Ketua Hakim
Negara iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Abdul Hamid Haji Mohamad.
Graduan
Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Mohd Shahrul Faizie
Bin Zaini telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Pelajaran Diraja
Pingat Jaya Cemerlang. Anak kedua dari 5 orang adik beradik ini
menyatakan bahawa kejayaan yang dicapai ini adalah hasil dorongan
isteri, Noorsyuhada Mohamed Salleh, ibu, Noriza Othman, keluarga dan
tenaga akademik di USIM yang tidak jemu-jemu memberi galakan serta
semangat.
"Walaupun ada yang berkata bahawa sukar
untuk membahagikan masa untuk belajar apabila sudah berkahwin, ia tidak
akan berlaku selagi kita ikhlas dan komited terhadap sesuatu perkara,"
tambah Shahrul yang juga merupakan wartawan penyiaran dan pengacara di
Stesen TV ALHIJRAH.
Dalam pada itu, Muhamad Firdaus Ab. Rahman graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa turut menerima anugerah yang sama.
Beliau
yang kini menyambung pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang
Syariah di Universiti Malaya menegaskan bahawa graduan pengajian agama
juga mampu bersaing dalam arus pembangunan negara.
"Saya merupakan anak kesembilan daripada
11 beradik dan hanya saya seorang memilih bidang pengajian agama.
Alhamdulillah, berkat sokongan daripada ibu bapa dan keluarga, saya
berjaya menamatkan pengajian ini dengan cemerlang," katanya.
Kedua-dua mereka menerima watikah, medal
Pingat Jaya Cemerlang serta wang tunai RM5,000 yang disampaikan oleh
Canselor USIM, Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan,
Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Sementara itu, Anugerah Canselor
diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi,
Ummi Farhana Omar, manakala penerima anugerah Pingat Emas Naib Canselor
pula diterima graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan
Sunnah, Mohd. Ashrafulnizam Abdul Wahab.
Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia
Tel: 06-798 8027/ 8028