KUALA LUMPUR, 11 Mei – Seramai 104
pelajar program Dakwah dan Pengurusan Islam dari Fakulti Kepimpinan dan
Pengurusan (FKP) Tahun 3 telah pun berjaya menjalankan program Khidmat
Gelandangan (Khidmat-G) iaitu untuk mendapatkan kajian profil terhadap
masyarakat gelandangan di sekitar bangunan Darul Jami’yah, Kuala Lumpur.
Menurut Dekan FKP, YBhg. Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani, program sebegini adalah galakan kepada para pelajar untuk menjadi insan Al-Abrar yang akan membantu Universiti mempergiatkan aktiviti community engagement di kalangan pelajar untuk berbakti kepada masyarakat.
“Masyarakat gelandangan dipilih sebagai subjek kajian adalah untuk membuktikan bahawa kita semua tidak meminggirkan mereka. Lebih-lebih lagi jika golongan mahasiswa Universiti sendiri turut menzahirkan rasa simpati dengan mengadakan program sehari bersama mereka,” katanya lagi ketika ditemubual.
Salah seorang peserta program iaitu Mohd Razmil Rizal Aminan berkata, pengalaman bersama gelandangan ini merupakan perkara baru kepada pelajar.
“Mereka memberi kerjasama yang baik dengan berkongsi pelbagai kisah sedih dan duka sepanjang menjadi gelandangan”
“Ini merupakan aktiviti kemasyarakatan di mana, dengan adanya kajian terhadap gelandangan ini, pihak kami dapat membantu mengutip maklumat yang tepat dan seterusnya menyerahkan kepada pihak yang berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya lagi.
Program yang berakhir kira-kira jam 4.00 petang itu berjaya mengumpul lebih dari 100 profil gelandangan dan laporan lengkap akan disediakan dengan segera untuk dihantar kepada pihak yang berwajib.
Disediakan oleh;
Fauziah Hassan
Tutor Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Disunting oleh :
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan